• ~Selamat Datang~

    Assalamualaikum,blog ini moga2 dpt diambil pengajaran daripadanya dan amalkan dalam kehidupan seharian..semoga berbahgia di dunia dan di akhirat...Dan moga ukhuwwah di antara semua berpanjangan dan kekal hingga di akhirat nanti...Ameen Ya Rabbal Alamin...

Pesanan selingan dari Indon's website

Posted by Kohatsa: On 12:27 AM 0 comments

“Kalau seorang Muslim hendak membanggakan dirinya, maka dia semestinya berbangga dengan pelbagai cubaan dan penderitaan yang dialami di jalan Islam, dia mesti bangga dengan jerih payah, perjuangan dan kerja keras yang dia persembahkan untuk agama ini dan dia mesti bangga tatkala di berjuang dengan penuh pengorbanan untuk meninggikan kalimah ‘La Ilaha illallah’ ”

- Dr Aidh Abdullah al-Qarni, La Tahzan
###########################################

"Inilah kelemahan para daie dan ilmuwan hari ini bagiku, gagal untuk melihat bahawa kuasa dakwah pada hari ini kekadang banyak wujud dalam kuasa multimedia dan perfileman. Lihat sahaja, berapa ramai yang tak pernah terlintas mahu membaca sumber-sumber Islam, tapi akhirn ya masuk Islam selepas melihat filem The Messenger. Berapa ramai yang sebelum ini keras hati tetapi akhirnya menitiskan air mata apabila melihat 8 siri filem perjuangan Ashabul Kahfi…."

- Syaari Abd Rahman , Setiausaha Agong GAMIS 2007-2008 ###########################################

Imam Syafie

Ketika aku menjadi pemaaf dan tak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas dari bara permusuhan. Ketika musuhku lewat di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu ku lakukan agar aku dapat menjaga diriku dari kejahatan. Aku tampakkan keramahanku, kesopananku, dan rasa persahabatanku kepada orang-orang yang ku benci, sebagaimana ku tampakkan hal itu kepada orang-orang yang ku cintai. Manusia adalah penyakit, dan penyakit itu akan muncul bila kita mendekati mereka. Padahal menjauhi manusia bererti memutuskan persahabatan.

Bersantai di Pantai

Posted by Kohatsa: On 5:56 AM 0 comments


13hb Feb 2010: HARI KELUARGA KOHATSA,
TELOK GODEK, MERSING JOHOR

Dengan nama Allah

Rabb dan Ilah seluruh Alam
Selawat dan Salam
buat Junjungan Khatamun Anbiya
Nabi Muhammad saw
Semoga sunnahmu akan dapat kami ikuti
hati sejahtera kami mulai
berukhwah bersama saling mengasihi


Kesyukuran yg tinggi kepadaMu Ya Rabb
Tiada kata lain dapat diugkap
Dalam perancangan yang kami berharap
Hari Keluarga menambahkan akrab

Telok Godek daerah Mersing
Jauh di timur terasa asing
Bas mengamit ramai yang pusing
tinggallah kendraan berbaris seiring

Musafir bersama menambah kasih
Laskar Pelangi cerita dipilih
Simpati Palestin dapat diraih
Ashabul Kahfi unggul dan gigih

Alhamdulillah Ya Allah
RahmatMu terasa terlalu indah
walau di dorm ada yang resah
di tepi pantai kemesraan terserlah

Skipping getah diikat dan tersedia
tangent getah tiba-tiba diperkata
semua seronok mereka cipta
Lastik ke botol mencari mata

Semua program beres dan telus
kami kemudian ke walimatul urus
bas ke Air Hitam dan ke Tangkak terus
Alhamdulillah segalanya syukur selamat & terurus









Sabar Anakku

Posted by Kohatsa: On 3:12 AM 0 comments

Assallamualaikum wr wb..


Semalam telah pergi
Hari ini berlalu dan berlari
esok dinanti tapi tak tentu lagi

Wahai anakku
jangan sedih jangan pilu
esok masih jauh lagi
hari ini biarlah berlalu
hilangkan kesedihan diri
biarlah kau belajar apa itu pilu
biarlah kau tahu
hidup ini memang begitu


warna hidup tidak sama
warna hati juga berbeza
tapi yang paling utama
diri berbekal iman di dada
warna dunia hanya seketika
jangan biarkan tercemar suasana
tinggalkan warna yang ceria
yang terkesan untuk jiwa
tanda pengabdian pada yang Maha Esa

jangan sedih mereka marah
usah berang mereka kerah
belajar bersabar dengan tabah
mutiara hati akan cerah
cobalah, InsyaAllah..



Posted by Kohatsa: On 10:38 PM 0 comments

Hari Keluarga KOHATSA

di Telok Godek Resort, Mersing, Johor

13-14 Feb 2010

10.00 pg Bertolak dari Tangkak

Ketua Musafir : Hj Mustapha Md.Top

12.30 tengah hari Lunch OTW ke Mersing sponsor by Hj Hairuddin di Kluang

2.00 ptg Check in di Telok Godek Resort

2.00 – 3.00 ptg Solat Jemaah Zohor/ Asar & rehat secukupnya.

3.30 ptg Pembahagian Kumpulan. Setiap kumpulan lantik ketua, juru tulis dan bendahari (kutip derma)

4.00 – 5.30 Telematch & acara laut dikendalikan oleh Kohatsa 2

5.30 ptg 6.30 ptg Makan nasi goreng, kuih dll

7.00 – 8.00 mlm Persiapan & Solat jama Maghrib/Isya’-Doa al-ma’thurat

8.30 – 9.30 Ceramah Haluan Palestine

Kutipan derma & Sumbangan terbanyak untuk Palestine- dapat tambah 20 markah untuk kumpulan masing-masing

10.00 mlm Program Kraf dan kerjatangan keluarga - Kumpulan Lelaki & Kumpulan Wanita


Hari Kedua, 14 Febuari 2010 ( Ahad)

5.30 pagi – Qiamulail

6.00 – 7.00 pg – Solat Subuh berjemaah & Tadarus Qur’an.

7.00 pagi – Tazlim (Tazkirah seorang lima minit) & rekreasi minda (latihan mengurus masa & pilihan kata yang tepat dan berkesan) di pantai. Lebih lima minit tolak 5 markah kumpulan. Tepat 5 minit tambah 5 markah– 1 kumpulan diwakili oleh 2 kohatsa I, seorang kohatsa II & Kohatsa III

8.30 pagi – Sarapan dan Meeting Kohatsa. Lepas sarapan Kohatsa II bawa anak-anak ke pantai – acara bebas

10.30 pagi - Penyampaian hadiah dan kalimah akhirah oleh wakil kohatsa I dan II -

11.00 bersiap-siap kemas

12.00 tengah hari- Check Out dan terus ke rumah Tn Hj Arshad Bin Ahmad

Agenda Meeting Kohatsa

14 Febuari 2010, 8 pagi

Di Telok Godek Resort Mersing

1. Kata aluan pengerusi majlis

2. Takwim Kohatsa 2010

2.1 Perkahwinan Kohatsa II

2.2 Pesta buku Jakarta 21 MAC?

2.3 Rancangan Umrah Ramadhan

3. Saling berwasiat

4. Doa Rabitah – Pak Uda

Syukuri Nikmat

Posted by Kohatsa: On 8:49 PM 0 comments

Ada manusia..

Ada wang, ada teman
ada juga ramai yang
ada hutang, ada kawan
tak kurang
ada hutang dan ada angan-angan
yang ada banyak sekali
ada angan-angan tapi tiada apa di tangan..
yang beruntungnya adalah manusia
yang ada wawasan dan ada iman, walau tiada apa di tangan
kerana yang akan ada ditangan
adalah keyakinan
bahawa tangan akan diberi oleh yang Maha Memberi Maha Memiliki

jiwa ini dimilikiNYA
hati ini dimilikiNYA
wang ini dimilikiNYA
segalanya bukan milik kita, tapi DIA yang empunya

Jangan takut bayang-bayang dunia
takutlah bayang-bayang diri di alam sana

Allah tak lihat pada apa yang kita miliki
tapi DIA melihat apa yang hati miliki..
Hanya DIA yang tahu, yang lain tak tahu
tapi.. apa yang di hati
akan terlahir didiri sendiri

kepura-puraan adalah celaka
kesombongan adalah neraka
kebodohan adalah siksa
riak dan haloba membawa bencana
hanya takwa pembawa berita gembira
di akhirat juga di dunia

Jangan tanya apa yang tiada
tanyalah apa yang telah ada
dan dengan apa yang telah ada
kamu harus mensyukurinya
dengan yang memang tiada
jangan ditanya dimanakah ia..

Yang pasti
DIA akan tanya
DIA akan periksa
DIA akan timbang tara
Kerana hanya DIA yang Mencipta
Kerana DIA yang Maha Berkuasa..

"Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga... Ali Imran;200

Sunyi yang tidak Sepi

Posted by Kohatsa: On 4:43 PM 0 comments

Assallamualaikum wr wb wahai dunia hari ini...

Pujian dipanjatkan kepada Rabb dan Illah, Rabbul A'lamin
Selawat dan salam kepada Muhammad Rasulullah saw, keluarga dan para sahabat baginda..

Pagi ini adalah sunyi
Sunyi tapi tak sepi..
Manusia ramai masih dibuai mimpi
tadipun aku sendiri bermimpi
aku menuju ke satu destinasi

Tiap hari hidup bagaikan mimpi
semua menuju satu destinasi
ramai yang tahu dan ramai yang berimaginasi
tapi ada juga yang masih sangsi
mana mereka nak pergi
kerana
terlena dibuai mimpi
di setiap hari yang sepi

Kesunyian pagi bagaikan hadiah Ilahi
kicauan burung boleh didengari
Namun kalau sepi menyapa diri
tentunya kita masih perlu mencari

Sepi adalah musuh
kerana ia memberi pandangan rapuh
Buanglah sepi jauh-jauh
dengan zikrullah bersungguh-sungguh
nanti InsyaAllah kau akan utuh
menyapa dunia dengan hati yang ampuh

Ya Allah
Ya Rabbi
Ya Halim
Ya Azim
Ya Rahim
Ya Karim
Ya Salim
Ya 'Alim
Jadikan aku sentiasa mendapat Rahmat Kasihmu..
Ya Rabbal Alamin..

Ummu Hasan

RENUNGAN

Posted by Kohatsa: On 6:08 PM 0 comments

Pujian bagimu Ya Allah

Rabb Yang Memiliki Alam Ini
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Salam dipanjatkan buat Penghulu Kami
Muhammad Al Amin..
Semoga nanti kami mendapat syafaatmu dengan izinNYA..
Amin...

Dunia adalah ilusi buat mata
Harta adalah material yang tak bernyawa
Berita tidak semuanya fakta
Cerita adalah khayalan dan sendiwara

Apakah ada di sana
yang bisa membuka minda sejelas-jelasnya
atau semuanya berpura-pura??!

jadilah Lelayang yang bertali
Bukan lelayang yang tiada paksi
Merayau di hutan dunia penuh fantasi
Bila menjunam di dasar bumi
barulah sedar tali tiada lagi..

Ayuh kita cari dan mencari
Di sana memang sudah pasti
kita menuju ke satu destinasi
di sini hanyalah sejenak berhenti
dan jangan mata mencuri-curi
mencari yang bukan milik hakiki
kerana milik hakiki bukan di sini.!

Carilah sebuah hati
yang dapat menerangi kegelapan jalanan ini
jangan cuai dan terlalai hati
kelak kepenatan melelahkan diri

yang pasti
yang dicari ada disisi
hanya hijab menutup mata hati
singkaplah ia dengan ketulusan rohani
insyaAllah tentu nanti
yang dicari pasti di sisi...

Usia sudah bertambah
aku bukan anak-anak sekolah rendah
Tapi pencapaian masih di tahap rendah
Semoga kekuatan dari Allah
Akan membuatkan aku gah
di persada dunia yang banyak helah..

Pergilah dunia dari hati ini
Aku cinta akhirat - dan itu aku nak pasti
tapi dunia mencuri dan mencari
dan aku akan tentukan nanti
supaya aku pasti kenal apa dunia ini
untuk kutinggalkan mengejar redha Ilahi
walau jasad ku berada di alam fana ini
akhirat telah dan akan ku terus menangi dihati..
Amin ya Rabbi.. Ya Illahi..
lupakan aku akan dunia ini
ingatkan aku akan akhirat nanti
tiap hari
semalam, juga hari ini
dan nanti esok yang menanti..
Yang aku cari,
Dunia ditanganku dan bukan di hati..

Raie'




Posted by Kohatsa: On 4:55 AM 0 comments

Umrah Ramadhan 1430 hijrah di Tanah Suci Makkah


Alhamdullillah,segala puji-pujian adalah milik Allah. Kita panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah yang telah mengizinkan beberapa ahli Kohatsa menunaikan ibadah puasa di bumi Makkah Al-Mukarramah terutama di sepanjang sepuluh akhir bulan Ramadhan 1430 hijrah bersamaan tahun 2009. Kesyukuran juga pada Allah yang telah memberi keselamatan, kesejahteraan serta kesihatan yang baik bagi semua ahli Kohatsa dan keluarga yang tidak dapat berkunjung ke tanah suci Makkah dan Madinah. Insyaallah kita berdoa semoga di tahun-tahun yang mendatang ahli Kohatsa dapat lagi menunaikan puasa Ramadhan di sana, AMIN……… Ya Allah kabulkanlah doa kami ini.

Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah S.A.W penutup segala nabi yang telah menyampaikan risalah Islam bagi dianuti bagi orang-orang yang beriman. Selawat dan salam juga dipanjatkan keatas keluarga baginda dan para sahabat baginda saw. Semoga cahaya Islam menerangi alam ini dan nikmatnya dirasai oleh seluruh alam dan semoga keluarga kita disimbahi cahaya iman dan Islam yang jitu dan soheh.. Amin.

Kohatsa di Makkah al Mukarramah

Ramadhan tahun 2009 adalah dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam dan bagi ahli Kohatsa yang telah merancang untuk berkunjung ke Makkah dalam bulan ini, penantian menjadi sesuatu yang memberi motivasi diri untuk kuat dan sentiasa sedia ke Tanah Suci.

Mak Uda, Pak Uda dan Pak Uteh adalah wakil Kohatsa yang merancang awal-awal lagi untuk berada di tanah suci Makkah selama sebulan. Alhamdulillah cita-cita ini telah tercapai dengan izin Allah. Perjalanan dimulai dengan bantuan Shahid Travel and Tours (STT) dan pemergian mereka adalah dalam dua perjalanan yang berasingan. Pak Uteh memulai perjalanan pada 20 Ogos dan Mak Uda beserta Pak Uda pergi pada 24 Ogos. Mak Cik Nole dan Pak Cik Man pergi dalam rombongan kedua iaitu selama 10 hari awal Ramadhan. Mereka berjumpa Pak Uda, Mak Uda dan Pak Uteh di hotel yang ditempah STT iaitu Hotel Ufuk al Fatih. Jarak hotel dari Masjidil Haram adalah dalam 200 meter sahaja, alhamdulillah, tidak jauh dan banyak memudahkan urusan pergi dan balik.

Pak Anjang hadir sebagai rombongan ketiga, berseorangan dengan pakej pendek dari Jakarta selama 4 hari Ramadhan di Makkah bermula 8 Sept/20 Ramadhan. Mak Anjang yang merancang awal untuk pergi bersama tidak dapat visa untuk ke Makkah di saat akhir. InsyaAllah di tahun akan datang, kita berdoa hasratnya akan tercapai.

Rombongan keempat iaitu yang terakhir terdiri dari 7 ahli kohatsa bersama 3 kawan Mak Ngah/Mak Usu yang ingin bersama. Pak Ngah, Mak Ngah, Fairus, Mak Long dan Rohana isteri Fairus, Mak Usu dan Pak Usu telah lama merancang untuk menghabiskan 10 Ramadhan terakhir di bumi Makkah bersama Kohatsa. Perjalanan bermula pada 8 Sept hingga 24 Sept 2009. Perjalanan melalui Singapura dan Colombo membuatkan masa perjalanan agak panjang, Alhamdulillah untuk dipenuhi oleh pelbagai pengalaman..Kunjungan bersama keluarga kali ini -sungguh menyeronokkan. Setiap ahli Kohatsa terlibat, dimulai oleh keluarga Allahyarham Abang Nordin, iaitu

Mak Long, Fairus dan Ana, kemudian Keluarga Mak Ngah suami isteri juga Mak Uda suami isteri. Pak Andak tak dapat bersama tetapi doa kami sentiasa merangkumi beliau dan keluarga. Pak Uteh bekorban sebulan berpisah dengan keluarga, Pak Alang, mendapat saham dengan memberi sumbangan menghantar keluarga Allahyarham Abang Nordin, Pak Anjang dengan saham penyediaan tempat tinggal dan makan minum untuk 13 peserta di sana, sambil juga hadir selama 4 hari. Uncle Aja, Pak Ai, Pak Man dan Pak Itam masih belum bersedia mengikuti rombongan Ramadhan kerana kesibukan tugas dan Mak Cik Nole dan Mak Usu suami isteri diizinkan juga mewakili Kohatsa di bumi mulia di bulan mulia... alhamdulillah, besarnya Rahmat Allah, silaturrahim dapat kami panjangkan dalam pakej Ramadhan di Makkah kali ini.

Kohatsa sentiasa membuka ruang untuk kawan- kawan & sahabat handai bersama dalam ziarah umrah. Sebelum ini pada umrah yang lepas, Mak Ngah bawa dua sahabat yang ingin bersama, bertepatan mereka juga sahabat kepada Allahyarham bonda Esah yang tersayang... dan kali ini juga sama, 3 sekeluarga dapat bersama dan mereka adalah sahabat kepada Mak Ngah dan Mak Usu yang juga mengenali Allahyarhamah bonda Esah. Allah izin salah seorang dari mereka iaitu ustazah Patimah mendapat masalah kesihatan mungkin disebabkan kekurangan air yang banyak di pagi Aidil Fitri di mana badan kanan beliau tidak dapat berfungsi dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Anugerah Allah untuk hambanya bila diberi sakit, adalah untuk menghapuskan dosa hamba tersebut. Dan Allah memberi peluang untuk hamba yang lain untuk mencari pahala membantu orang yang sakit yang mana setiap pahala digandakan 100,000 kali apabila ianya berada di tanah haram Makkah. Allah boleh memberi sakit di Malaysia dan bantuan diberi di Malaysia, tapi nilai bantuan tidak sebanyak 100,000 kali. Maha Besar kepemurahan Allah untuk hamba-hamba yang dikasihiNya. Dengan ujian kesakitan salah seorang jemaah, jemaah lain dapat menyumbang dari segi kesabaran, redha, tenang, kewangan, tenaga dan pelbagai lagi. Kalau tiada yang sakit, ruang untuk mendapat pahala yang luas adalah terhad...

Menjadi Tetamu Allah

Sepanjang perjalanan dari Malaysia bersama rombongan 10 akhir Ramadhan bagi 10 orang, Mak Usu sentiasa memohon Allah menerima kami sebagai tetamuNya... hati sentiasa berdetik memohon supaya kedatangan ini disambut dengan Rahmat Allah... takut juga kedatangan kami tidak mendapat tempat, kerana kami adalah manusia biasa dan banyak dosa. Namun hati kami ke Makkah untuk membersihkan jiwa kami, semoga curahan rahmat Ramadhan dapat menghapuskan kotoran-kotoran di hati kami...

Perjalanan sebagai tetamu Allah dapat kami rasai sungguh apabila kami tiba di Colombo untuk perjalanan ke Jeddah. Tanpa kami sangka, ketika memasuki perut kapalterbang Saudi Arabian Airline, kami diarah untuk menuju ke bahagian kelas bisnis.. kami terasa sungguh pelik kerana sejak bila pula kami menempah kelas bisnis? Setahu Mak Usu yang menguruskan hal ehwal tiket dll, Mak Usu menempah mana yang mampu dalam bajet rombongan yang terhad. Tempat duduk berkembar dua-dua tiba-tiba tersedia di depan kami.. Alhamdulillah, mulut mengucapkan syukur dan hati tertanya-tanya, Ya Allah, apakah kami dilayan sebagai tetamuMu dengan hadiah ini...? Kami belum pun sampai di bumi Makkah... Alhamdulillah... tiada lain yang dapat diungkapkan, namun setiap wajah 10 orang dari kami mengukir senyuman yang masing-masing bagaikan faham apa yang sedang berlaku.. Hadiah tetamu Allah buat kami... Allah memberi nikmat kepada hamba-hambaNya siapa yang Dia Kehendaki... terima kasih atas bantuan wakil STT, saudara Juhair yang bekerja dengan Saudi Arabian Airline di Colombo.. Allah menempatkan beliau di sana untuk membantu kami dalam perjalanan ini..

Perjalanan dari Colombo ke Makkah bagaikan tak terasa apa-apa melainkan terawang-awang di awan dan tidur kami adalah tidur yang mengasyikkan. Pertama kali Mak Usu mengejutkan Pak Usu untuk solat di depan tempat duduk di hadapan. Mak Usu dah bertanya kepada pramugari untuk mendapat izin solat di situ.. Pak Usu pun bersiap sedia dan bila masa untuk solat tiba, ramai pula jemaah lain bersama untuk solat berjemaah; Jama’ qasar Zohor Asar berjemaah dalam keadaan berdiri di atas kapalterbang Saudi pada hari itu.. Tidak pernah Mak Usu dapat saksikan solat berjemaah silih berganti begitu... Alhamdulillah.. Kami para wanita cukup untuk solat di tempat kami yang begitu luas ruangan kakinya.

Setibanya di Makkah, episod bersama orang Arab bermula.. imigresen yang ‘lembab’ menguji kami, tapi semua merasai keperitannya... Kami diberitahu, ada yang 8 jam di imigresen sahaja. Kami hanya 2 jam.. Setelah berbuka di dalam van, kami pun memulakan perjalanan ke Hotel Ufuk Al Fatih... Dalam perjalanan kami singgah di sebuah masjid untuk solat Maghrib. Selepas solat Maghrib, Ustaz Ahmad Al Fatani, wakil STT di Makkah membeli beberapa botol air mineral yang sejuk dan mengedarkannya kepada kami. Alhamdulillah, setelah meneguknya beberapa kali, terasa sungguh nikmat setelah lama berdiri di imigresen sebelum itu. Setelah menempuh perjalanan beberapa ketika, kami sampai di Makkah dalam suasana tenang di mana solat Isyak baru bermula. Bermulalah suasana Ramadhan di hati kami dan 10 hari kami harungi dengan penuh khusyuk dan tenang.. Ramadan 10 akhir di Makkah, adalah sesuatu yang tidak akan kami tukar dengan hadiah lain di dunia ini... InsyaAllah. Kami ingin lagi datang ke sini, di 10 akhir Ramadhan, di Makkah, di hadapan Baitullah menadah tangan memohon pengampunan dan kemaafan dari Allah untuk mendapat syurga Firdaus bersama keluarga dan orang-orang kami kasihi dan orang-orang yang beriman di sisi Allah... bersama Rasulullah saw.. Rasul yang kami cintai.. Walaupun kami dari bumi Malaysia yang kecil, kami sentiasa mengharap tempat di sisi Rahmat Allah.. tempat di syurgaNya nanti.... Amin...

Kehidupan Harian di Makkah

Bagi Mak Usu selaku penulis di sini, Allah izin kali ini adalah kali ke 3 Mak Usu ke Makkah, yang mana pertama kali dahulu untuk menunaikan haji pada tahun 2002, kemudian tahun lepas bersama rombongan Kohatsa untuk Umrah bulan 6 dan kali ini, Umrah Puasa Ramadhan adalah sesuatu yang berbeza dari kunjungan yang lepas. Kunjungan yang lepas telah dapat memberi persediaan kepada Mak Usu untuk merasai suasana yang lebih mencabar di Makkah kali ini. Allah izin, untuk kunjungan kali ini, rombongan Kohatsa tidak disediakan makanan seperti pakej biasa. Pilihan ini Mak Usu sendiri yang cadangkan. Ini adalah kerana Mak Usu ingin merasa pengalaman baru memasak untuk ahli Kohatsa yang bersama di Makkah. Mak Usu sendiri telah menyediakan minda untuk berbuat demikian dan banyak Mak Usu telah rancang untuk menangani masalah makanan di sana. Dalam hati, memang Mak usu ingin meraih pengalaman baru di tanah suci Makkah.

Mak Usu hanya membuat perancangan untuk memasak sekadarnya dan membeli makanan siap apabila diperlukan. Namun, segala perancangan sekadarnya telah berubah dengan Pak Anjang memberi ilham dan barangan periok dan pinggan untuk Mak usu memasak dengan lebih teratur. Alhamdulillah... Mak Usu dipermudahkan dengan apa yang Pak Anjang dah mulakan..

Memasak sendiri memungkinkan masa untuk ke masjid agak terhad dan kurang. Namun pandangan Mak Usu agak berbeza dalam melihat suasana ini. Mak Usu merasakan bahawa kehidupan ini sungguh luas dan masalah kehidupan harian termasuk makan, minum, mandi, berkenal-kenalan, bertegur-sapa dan bantu-membantu adalah pakej hidup yang mesti dilalui dan dalam setiap aspek tersebut, nilai keikhlasan dapat diuji dan dilaksanakan. Hidup ini sungguh indah bila ruang hidup ini diluaskan kepada hal-hal kecil seperti berkenalan hinggalah kepada hal-hal besar membantu orang yang memerlukan tenaga dan masa kita. Makna jihad yang sebenarnya bukanlah hanya berbentuk ibadah di masjid semata-mata, namun ia berbentuk pengorbanan kehidupan yang luas, iaitu keluar dari ruang lingkup ibadah semata-mata kepada mempertahankan kesinambungan hidup bagi risalah Islam itu sendiri. Ini termasuk memastikan bahawa risalah Islam memasuki ruang lingkup cara hidup manusia dari cara makan, minum, tidur, bekerja, bekerjasama, tolong menolong, berkenal-kenalan, bermuamalah, berdoa dan juga beribadah khusus. Namun, persediaan hati yang mantap diperlukan sebelum keluar berjihad dan mempertahankan kesinambungan Islam dalam kehidupan seharian.

Pakej Berjemaah Kohatsa

Kami lalui hari-hari kami di Makkah bersama keluarga yang hadir bersama. Perjalanan kami diatur oleh STT dengan pengarahnya Pak Cik Man (Musafir Organiser) sendiri yang mengatur perjalanan sebanyak 3 kumpulan secara berasingan.. sulit juga nak atur kerana yang pergi mempunyai agenda pergi balik yang berlainan dengan kapalterbang dan bas yang berasingan.. Di Makkah, kami beribadah di Masjid, kami keluar ke kedai, kami masak, kami makan... masak kami masak yang simple, hanya mengunakan rice cooker dan hot plate.. tapi, makanan tetap dapat kami nikmati.... Dalam rombongan kami, Mak Ngah dan Mak Uda, Pak Uteh serta Pak Usu adalah kumpulan yang sentiasa di Masjid beribadah (Para Abid) dan menjaga suasana, sentiasa juga berdoa untuk kami semua... nak jumpa masa makan dan sahur sahaja. Pak Uda dan Pak Ngah disamping beribadah di Masjid, adalah sentiasa membeli dan menyediakan air minuman dan buah-buahan (Para Dermawan).. tak pernah air dan buah-buahan kurang dari peti sejuk kami.. jus mangga, jus lemon, jus oren, jus epal, susu segar, anggur, plum, epal, kurma segar... semua ada... Alhamdulillah. Pak Anjang telah siap dengan periok, rempah, bawang dan sayur-sayuran untuk di masak nanti.. Dua hari dia sendiri masak sup kambing.. Emm, sedap dapat sup orang Malaysia. Pak Anjang sentiasa memastikan tempat tinggal selesa dan sesuai buat kami beribadah di sana (Host di Makkah) dan Mak Usu di samping ke Masjid setiap waktu sentiasa juga menjaga jadual program dan penyediaan makanan dan bertindak sebagai Fasilitator). Mak Long , Fairuz seta isteri dengan keringanan tulang membantu hidangan dan kemasan pinggan mangkuk sebelum dan selepas makan (Para Ansariyun) sebelum ke Masjid.. Tiga kawan Mak Ngah yang bersama kami juga sentiasa membantu mengemas dan membasuh pinggan mangkuk.. Fairuz menjadi runner apabila makanan tambahan diperlukan untuk menambah lauk terutama masa sahur. Fairuz dah pandai membeli ayam golek, kari kambing, nasi Kabsah, nasi Mandy dan lain-lain... Makanan kami di Makkah memang istimewa dan pelbaga jenis.. sukar untuk dapat makanan yang sama di Malaysia di waktu yang lain.. Makanan kami adalah makanan tetamu Allah di Makkah di musim Ramadhan... Makanan Catering tak sama dengan apa yang kami hidangkan. Alhamdulillah, berat badan kami dari hari ke hari semakin bertambah, bukannya kurang, walaupun kami kehausan dan kelaparan di siang hari kerana berpuasa... Itulah rahmat, itulah nikmat.. semoga kesihatan yang baik berpanjangan.

Di Makkah kali ini, kami bagaikan satu team yang mantap, team Ramadhan di Makkah yang cukup dengan segala kepakaran.. team yang berusaha mencapai sasaran matlamat mencari kurnia dan redha Allah... Ya Allah, kami merindui suasana di sana... kami merindui keramahan keluarga bersama.. Izinkan kami merasai suasana ini lagi ya Allah... nanti di waktu yang akan datang, InsyaAllah... di bumi Mu ini lagi... dan mungkin di suasana yang lebih ramai dan yang lebih menambah kasih sayang kami dalam mencari redha Mu dalam hidup kami... Amin. Sesungguhnya ibadah kami, hidup kami, mati kami hanyalah untuk Mu ya Allah.. dan Ramadhan di Makkah memberi kami menikmati kehidupan yang indah.. di bumi suci Makkah di bulan mulia Ramadhan.. Sepanjang di sana, tiada rungutan yang Mak Usu dengar, yang ada hanya kata-kata syukur.. suasana ini telah dapat memberikan kami semua berhati bersih.. murni, harmoni dan tenang.. Alhamdulillah..

Ramadhan 10 Akhir

Makkah di bulan Ramadhan adalah berbeza dengan Ramadhan di Malaysia. Cuaca memang panas terik dan kering iaitu dari 34C hingga 45C, dan peluh mudah mengalir apabila berada di Masjid bersolat terutama di tempat yang tiada pendingin udara. Kepanasan terik di Makkah tidak sekali-kali menjadi penghalang jemaah untuk mengerjakan Umrah Ramadhan. Ini boleh dilihat dari ramainya manusia yang berkunjung ke Makkah dari segenap pelusuk dunia. Tahun ini kes H1N1 menghadkan kedatangan dari beberapa negara, namun bilangan jemaah dari hari ke hari meningkat dan jumlah terbanyak adalah pada malam 27 Ramadhan. Mak Usu tak pernah menyangka Makkah boleh menerima seramai jumlah yang Mak Usu lihat..Lobi hotel dan pasaraya di kelilingi manusia yang menjadikannya tempat untuk solat ketika Masjidil Haram telah dipenuhi jemaah..

Mak Usu mendapat peluang melihat suasana di luar Masjid ketika waktu puncak kerana Mak Usu telah diarah meninggalkan tempat solat di dataran luar masjid untuk menampung jumlah jemaah lelaki yang begitu banyak.. MasyaAllah... ramai yang tidak terkira.. Pintu ke Masjid banyak telah ditutup, jalan nak masuk sudah sesak dengan jemaah bersolat di ruang jalanan dan tiada ruang untuk berjalan kecuali beberapa jalan sehala yang berpusing jauh dari biasa untuk ke sesuatu tempat. Jalan ke hotel yang lurus kini menjadi belok kiri dan kanan melalui jalan bangunan hotel dan pasaraya. Tempat solat diberi keutamaan kepada jemaah lelaki, tempat jemaah wanita agak terhad..

Ibadah umat Islam di bumi Makkah bukan hanya bertumpu kepada ibadat solat dan membaca Al Quran dengan pergi balik masjid sahaja kerana ruang lingkup ibadah di sisi Allah amat luas. Contohnya, di bulan Ramadhan, Allah memberi keistimewaan bagi orang yang memberi makan orang yang berpuasa, iaitu sesiapa yang memberi makan orang berpuasa, mereka akan mendapat pahala puasa sama seperti orang yang berpuasa tanpa dikurangi sedikit pun. Setiap waktu berbuka, suasana orang yang memberi kurma adalah suasana biasa. Ada yang campak, ada yang beri dalam gelas plastik, ada yang memberi dari tangan ke tangan. Tidak kurang yang beri teh panas, susu, laban (susu masam), keju serta roti.

Juga di Makkah, setiap infak dan kebaikan yang dilakukan, ganjarannya akan digandakan sebanyak 100,000 kali lagi.. setiap kebaikan, setiap apa yang dibuat yang merupakan amal soleh seperti membantu orang yang menghadapi kesukaran, memberi sumbangan dan pelbagai lagi.. bayangkanlah jika kita membantu seseorang yang sakit di Makkah, ianya adalah amat berbeza dengan membantu orang yang sakit di Malaysia sebanyak 1 nisbah 100,000. MasyaAllah, Maha Kaya dan Maha Pemurahnya Allah kepada hamba-hambaNya.. Ramadhan adalah hadiah istimewa, dan Makkah beserta Masjidil Haram di dalamnya adalah hadiah yang tiada bandingan yang sentiasa menanti hamba-hambaNya yang dijemput sebagai tetamuNya. Bagi Mak Usu, Ramadhan dan Makkah adalah satu kombinasi pakej ibadah yang lebih baik dari dunia dan seisinya, InsyaAllah... tiada pesta yang terbaik dibandingkan pesta berpuasa dan qiam malam Ramadhan di Masjidil Haram di 10 terakhir Ramadhan...

Mencari Taqwa

Alhamdulillah, Allah izin pelbagai pengalaman dapat dirasai, dan setiap pengalaman ada harganya di sisi Allah. Allah menilai bukan dengan banyaknya ibadah kita, tetapi Allah melihat nilai keikhlasan yang lahir dari ketaqwaan diri. Proses melahirkan taqwa perlukan pelbagai ujian dan pengalaman kerana taqwa bukan untuk di simpan, tapi untuk dilaksanakan dan dipertingkatkan.... Syukur ya Allah, kami teruji dengan pelbagai pengalaman dan kami mengharap anugerah Rahmat Mu buat bekalan kami di alam sana nanti... Amin.

Banyak bentuk ujian yang dilalui oleh rombongan Kohatsa kali ini. Sakitnya sahabat kami, adalah anugerah Allah. Kami juga teruji dengan kelewatan bas selama 12 jam ke Madinah, ketinggalan kapalterbang, keadaan kenderaan yang sarat, kenderaan yang bocor tayarnya di tengah-tengah perjalanan yang jauh di padang pasir di malam yang gelap, kesusahan membawa baggage yang banyak semasa transit di Colombo, kehilangan kasut dan jam, pembahagian tugasan harian dalam kemas mengemas dan basuh membasuh, masak memasak, mencari tempat berbuka dan macam-macam lagi. Tapi bila dikenang-kenangkan, beruntungnya kita kerana semua ujian adalah proses penambahan taqwa. Tanpa ujian, semuanya berjalan dengan baik dan tiada pengalaman yang dapat dikecapi, dan bagaimana dapat kita ukur taqwa kita tanpa kita teruji. Jadi, untuk semua ahli Kohatsa yang bersama rombongan kali ini, kita bersyukur kepada Allah kerana memberi kita pelbagai pengalaman dan ujian hati... semoga proses yang kita lalui akan melahirkan kita sebagai insan yang lebih sabar, lebih mantap, lebih baik, lebih berkasih sayang, lebih bertimbang rasa,lebih rendah diri, lebih redha dan lebih dalam peningkatan TAQWA di sisi Allah... Ramadhan di Makkah adalah madrasah yang mampu mendidik jiwa yang ikhlas mencari Taqwa, dan ditambah lagi dengan Lailatul Qadr, yang mana hati yang sedia untuk proses taqwa tentunya akan mendapat tempat bagi curahan rahmat Allah melalui anugerah Lailatul Qadr...

Setiap perkara yang berlaku di Makkah di bulan Ramadhan adalah baik belaka... tiada apa pun yang menjadi masalah yang sia-sia. Yang sia-sia hanyalah apabila setiap ibadah kita tidak diterima Allah (Nau’zubillah...). Ibadah yang sia-sia termasuk ibadah orang yang bersikap sombong, ibadah orang yang merasa mereka lebih baik dari orang lain, ibadah orang yang mengecilkan dan memperlekehkan tindakan orang lain dan pelbagai ibadah yang disulami oleh penyakit hati seperti dengki, ujub dan ria’. Dalam hal ini, kita insan biasa tiada hak untuk menghukum orang lain dalam tindakan masing-masing. Kita juga melihat orang yang solat di ruang hotel sedangkan masjid hanya beberapa meter sahaja, kita juga dapat lihat orang yang hanya banyak bercakap berbanding dengan tindakan. Ada yang seolah-olah tidak mahu masanya digunakan untuk beribadah kerana lebih suka di bilik hotel... dan macam-macam lagi.. Serahkanlah setiap perkara kepada Allah, hanya Allah yang akan menghakimi setiap diri dengan apa yang mereka perbuat, dan kita berdoa semoga setiap ibadah kita Allah terima sepenuhnya, InsyaAllah...

Makkah dan Ramadhan memang pakej istimewa dan ramainya manusia di Makkah pada waktu Ramadhan (mencapai 3 juta) menunjukkan bahawa semua manusia seboleh-bolehnya ingin mendapat keistimewaan pakej ini. Bila kita berada di sana, kita akan melihat pelbagai bangsa, bahasa dan warna kulit. Di sana kita akan dapat lihat, Allah Maha Pengasih dan Dia memberi setiap manusia peluang untuk mencapai yang terbaik... Kita kadang-kadang pelik, pelbagai cara ibadah yang ada... pelbagai cara berpakaian dalam ibadah yang ada, pelbagai cara berinteraksi ada, tapi Allah akan hanya menerima apa yang memenuhi syarat beribadah itu sendiri. Maknanya, jumlah yang ramai tidak menjadi ukuran kepada kejayaan sesuatu perkara, banyak bukan menjadi ukuran bagus atau tidaknya sesuatu perkara, tapi nilai sebenar, adalah apa yang ada di dalam hati. Inilah sebenarnya apa yang Allah swt lihat... Dan, ukuran ini, bukan ada di tangan kita, ianya di tangan Allah swt. Allah sahaja yang dapat ukur nilai taqwa seseorang. Kita berdoa semoga kita mencapai darjat taqwa yang Allah kehendaki,dan semoga syarat taqwa dapat kita penuhi untuk mencapai darjat ini... amin Ya Rabbal Alamin...

Taqwa akan membuahkan tindakan baik dalam cara hidup kita selepas Ramadhan... ianya bagaikan sepohon pokok segar yang membuahkan buah yang ranum lagi manis. Taqwa bukan mengikut masa dan tempat, tapi ianya adalah meliputi setiap detik kehidupan. Taqwa mampu dilahirkan oleh hati-hati yang halus dan suci. Tindakan hidup yang sombong serta kasar dan tidak berakhlak jelas menunjukkan taqwa tidak hidup dalam diri tersebut. Oleh yang demikian, kita akan dapat melihat bahawa hamba Allah yang dianugerahkan taqwa akan menjadi lebih baik dari hari ke hari menuju kepada halus budi pekerti dan akhlak yang tinggi... Taqwa juga memerlukan hati yang siap sedia untuk dicanai, diproses dari keras menjadi lembut, dari lembut menjadi halus... kalau hati tidak bersedia untuk di canai, yang keras akan terus keras dan kaku, kehalusan tidak wujud dalam diari kehidupanya... semua perkara dipandang mudah dari pandangan mata kasar, tidak nampak dengan mata hati akan kesan di akhirat dan balasan kehidupan ini... Semua perkara ingin dipantau mengikut acuan diri sendiri, bukan acuan Allah.. Semua urusan ingin diuruskan sendiri bukan untuk diserahkan kepada kehendak Allah beserta dengan tawakal dan redha.. siapalah kita di sisi Allah tanpa taqwa.. Tanpa taqwa, kita bagaikan binatang yang hidup untuk makan dan memuaskan hawa nafsu, dan yang kita takuti adalah menjadi lebih teruk dari binatang.. Ini adalah pesanan ayat-ayat Allah.. Allah yang mengingatkan hamba-hambanya supaya bertaqwa, lantas apakah ada yang lain dari taqwa yang perlu kita cari???.. InsyaAllah masa yang terbaik untuk dapat melatih diri bertaqwa adalah di dalam bulan Ramadhan. Namun secara dasarnya, taqwa tidak perlu tunggu Ramadhan di Makkah, taqwa bukan bergantung pada tempat, tapi ia bergantung pada waktu dan hati.. dan waktu itu bila lagi, kalau bukan sekarang, dan hati itu hati yang mana lagi kalau bukan hati kita sendiri.. Marilah kita berlumba-lumba mengejar taqwa dan hakikatnya yang sebenar.. marilah kita memohon pada kemahalembutan Allah untuk menganugerahkan kita dengan taqwa yang mantap... bagi diri kita dan ahli-ahli kita... bagi yang telah bersama mengikuti rombongan ke Makkah di bulan Ramadhan 1430H, Alhamdulillah dan tahniah diucapkan kerana menjadi tetamu Allah.. Semoga kita menghargai pemergian dan nikmat anugerah Allah ini dan memperbaiki diri kita sendiri dengan kehalusan Iman dan akhlak yang terpuji, kerana hanya akhlak yang terpuji menjadi saksi bahawa fadhilat Ramadhan di Makkah dapat kita hayati sehingga akhir hayat nanti.. Seperti yang kita fahami, kita mengharapkan Rahmat Allah, MaghfirahNya dan kebebasan dari Api Neraka buat diri kita dan ahli kita...

Terima Kasih Kesyukuran dari Kami

Bagi Musafir Organiser, STT dan Pak Cik Man dan Mak Cik Norli, Mak Usu sebagai fasilitator dan wakil rombongan mengucapkan ribuan dan jutaan terima kasih akan segala bantuan yang diberi dan dirancangkan buat kami.. Alhamdulillah semuanya cantik belaka. Yang sukar ada hikmahnya, yang mudah ada nikmatnya.. Maafkan kami kalau ada kekasaran bahasa dari kami terhadap semua wakil-wakil yang membantu.. Inilah program musafir yang kompleks, ramai yang terlibat dan kami berdoa semoga semua yang membantu kami mendapat saham di sisi Allah dengan kurnia Allah... kami tidak dapat membalas segala kebaikan, tapi kami berdoa kebaikan yang banyak buat semua yang terlibat..

Buat host kami di Makkah, Pak Anjang dan keluarga beliau di Malaysia.. sukar untuk kami ungkapkan kesyukuran kami tanpa memanjangkan doa untuk Pak Anjang dan keluarga.. Menyediakan kami tempat tinggal dan makanan adalah tidak mudah melainkan dengan keikhlasan yang tinggi.. Kami tahu tiada balasan yang diharapkan dari kami kerana kalau nak mengharapkan balasan kami, kami bukanlah orang yang mampu kerana kami semua adalah hamba yang fakir di bumi Allah yang suci.. Balasan adalah dari Allah jua, yang memiliki Perbendaharaan segalanya.. dan kami mendoakan balasan di alam sana dengan syurga Firdaus serta kehidupan yang selamat dan sejahtera sepanjang hayat buat Pak Anjang dan keluarga.. juga semoga setiap kebaikan dan doa kami, Allah juga akan menganugerahkan RahmatNya dan memberikan taqwa yang mantap kepada Pak Anjang...

Buat Pak Alang dan Mak Alang yang memberi jalan untuk Mak Long, Fairus dan Rohana ke Makkah, setinggi kalungan tahniah dan kesyukuran kami panjatkan. Mak Usu sentiasa bersama mereka bertiga di sana yang dapat melihat pelbagai kebaikan yang mereka rasai kerana bersama di bumi Makkah di bulan Ramadhan.. InsyaAllah, setiap langkah ke masjid, setiap patah Al Quran yang di baca, setiap senyuman terukir, semuanya diganda-ganda dan dapat sahamnya melimpah-ruah di buku catatan amal Pak Alang dan keluarga, InsyaAllah. Apakah 100,000 amalan di Makkah sama dengan 1 amalan di Malaysia... Pak Alang sebenarnya bersama di Makkah kerana infaqnya, dan beliau tidak dikurangi kebaikan sedikitpun selama keikhlasan menghunjam di hatinya... InsyaAllah.. Bagaikan di setiap bayang-bayang Fairus, Mak Long dan Ana, Pak Lang dan Mak Lang sentiasa bersama.. Apakah ada yang lebih baik dari menginfakkan harta kepada mereka untuk ke Makkah di bulan Ramadhan ketika kita sendiri tidak dapat ke Makkah?

Bagi semua peserta rombongan Ramadhan ke Makkah kali ini, kita semua memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt yang telah menerima kita sebagai tetamuNya. Semoga semua amalan kita diterima Allah sebagai amal soleh.. Kita adalah hamba yang fakir di bumiNya, dan disebabkan kefakiran kita, kita sentiasa mengharapkan RahmatNya.. kita sedar, dalam kefakiran kita, tempat untuk kita bersujud juga adalah atas anugerah Allah... tempat untuk kita tidur, kita makan dan segala nikmat di sana adalah anugerah Allah.. kifa fakir, tapi di bumiNya kita dilayan bagaikan orang yang bukan fakir.. kita dilayan dengan masa yang cukup, solat yang tepat waktu, doa yang diaminkan oleh ramai orang secara bersama-sama, solat tarawikh dan tahajud yang lunak bacaan dan tenang ibadahnya, makanan yang enak-enak, berbuka secara berjemaah serta berdoa bersama.. walaupu kita di bumi Allah, Allah tambah dengan anugerah kasih sayang yang tidak ramai dapat merasainya... Apakah ada selain dari semua itu untuk hamba yang fakir seperti kita yang kita harapkan?.. dan kita amat-amat mengharapkan Al Jannatul Firdaus.. Semoga dengan anugerah Allah kepada kita dengan pelbagai kebaikan di sana di bulan mulia Ramadhan akan menjadikan hidup kita hari ini lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik lagi dari hari ini, hinggalah kita kembali menemuiNYA.. semoga kita dapat tinggalkan kenangan lama dengan kesilapan-kesilapan dan mengantikan kenangan baru dengan kebaikan-kebaikan.. semoga kita dapat juga meninggalkan kesan silam yang pahit dan mengantikannya dengan harapan hidup yang baru meraih anugerah kasih sayang Allah... yang lepas jadikan sempadan, yaang akan datang jadikan jambatan menuju jalan lurus yang Allah redhai... Amin ya Rabbal Alamin...

Terima Kasih ya Allah, terima kasih kerana menerima kedatangan kami sebagai tetamu di Ramadhan 1430H, terima kasih kerana menerima rombongan kami yang lemah dari pelbagai segi... kami amat kerdil dan kami manusia biasa.. kami datang dengan dosa-dosa yang hanya Engkau yang tahu, tapi kami datang membawa hati-hati yang ikhlas untuk menghirup udara Ramadhan Kareem di Makkah yang penuh Rahmat, semoga udara syahdu itu dapat menghapuskan karat-karat jahiliyah di hati kami... Udara Ramadhan di Makkah hanya datang setahun sekali, maka berilah kami izin untuk menghirupnya buat menjadi penawar dan penyegar bagi hati-hati kami yang lalai dengan kesibukan dunia.. Ya Allah ampuni kami dan dosa-dosa kami, Maafkan Kami, Engkau mencintai Kemaafan, Maka Maafkan Kami, dan masukkan kami dalam Rahmat Mu, dan Masukkanlah kami dalam SyurgaMu, AMIN.....

Ramadhan di Makkah Lagi, InsyaAllah

Buat ahli Kohatsa yang telah melalui madrasah Ramadhan di Makkah pada tahun 2009, mungkin bersetuju kalau Mak Usu katakan bahawa kita masih belum dapat mengambil banyak manfaat di sana.. Secara jujur, Mak Usu sendiri rasakan bahawa penguasaan bahasa Arab adalah kunci untuk lebih merasa kedekatan dengan rahmat Allah. Bagi Mak Usu yang baru belajar bahasa Arab, banyak kekurangan dapat dirasakan terutama apabila tidak memahami banyak doa doa yang dibaca oleh imam ketika selesai solat tahajjud. Mak Usu terasa begitu asing bila doa doa tersebut kurang terkesan di hati. Semoga penguasaan bahasa Arab ini akan mampu diperteguhkan untuk masa yang akan datang insyaAllah. Bahasa Arab juga tentunya dapat membantu untuk berkenal-kenalan dengan warga negara dari negara-negara Arab sebelah sana.

Kesihatan dan tenaga juga adalah sesuatu yang penting untuk diberi keutamaan. Alhamdulillah rombongan kali ini telah diberi Allah kesihatan yang baik.. kerana hanya selsema dan batuk menyerang beberapa ahli rombongan dan madu serta limau adalah penawar yang banyak digunakan. Jadi, madu sentiasa menjadi bekalan yang baik di tanah suci Makkah.

Kita juga mengharapkan di lain masa, kalau ada tempat tinggal yang siap dengan dapur dan alat membasuh kain, sudah pasti banyak mambantu kerana pakaian tidak perlu di bawa banyak-banyak dan makanan dapat disediakan dalam masa yang cepat.

Semoga bekalan hati menjadi persiapan yang diutamakan apabila kita berniat untuk ke Makkah di bulan Ramadhan di tahun-tahun yang akan datang..

Ya Allah, kuatkan kami, kuatkan hati kami dan kuatkan keinginan kami untuk bersimpuh di hadapan Kaabah di Ramadhan yang mendatang... Kami yang telah Engkau beri rahmat untuk ke sana amat merindui untuk bermunajat dan mendengat alunan merdu bacaan al quran di setiap malam yang shahdu di Baitullah... Dan kami yang belum berkesempatan ke sana untuk merasai alunan Al Quran yang merdu dan mengasyikkan, memohon, janganlah kami ketinggalan untuk besama-sama di masa-masa akan datang.. lagi dan lagi, insyaAllah... bukan hanya sekali... Ya Rabb... Baitullah adalah milikMu, catatkanlah nama-nama keluarga kami untuk sentiasa dapat berkunjung ke Makkah Al Mukarammah di bulan Ramadhan, terutama hari 10 akhirnya... Amin ya Rabbal Alamin....